saya adalah manusia melayu islam yang biasa ingin menjadi luar biasa...

Saturday, September 17, 2011

Indahnya Hidup Dihiasi Kemanisan Iman

Indahnya Hidup Dihiasi Kemanisan Iman

Kemanisan Iman dapat dirasai bila sepenuhnya cinta adalah untuk-Nya,
Kemanisan Iman itu dirasai bila adanya sifat tawaduk dalam diri.
Adakah aku layak untuk merasai satu kemanisan Iman yang dijanjikan Allah untuk hamba-Nya?
Aku merasakan masih banyak dosa yang sudah aku lakukan,
Seringkali terlupa akan setiap pemberian-Nya,
Mula mencari cinta-Nya apabila dilanda musibah,
Masihkah ada ruang untukku mencari keredhaan-Nya?
Masih terbukakah pintu-Nya untukku?
Adakah aku telah terlambat untuk merebut cinta-Nya?
Aku tahu Imanku hanya setebal kulit bawang,
Jika digugat, pastinya terkoyak,
Jika dipelihara, pastinya akan bertambah tebal,
Bagaimana untukku pelihara harta ini?
Agar terus terpelihara,
Dari noda dan dosa yang menghancurinya,
Aku tahu bahawa kadang-kadang Iman kita menjadi kuat,
Mampu menangkis serangan syaitan laknatullah,
Aku tahu bahawa kadang-kadang Iman kita menjadi lemah,
Kalah dengan permainan iblis terkutuk,
Mula melupakan cinta pada Allah Azza Wajalla.
Iman ini merupkan pintu untuk pembentukan jati diri seorang insan,
Seorang insan yang hebat mempunyai Iman yang kental,
Tidak mudah tunduk dengan permainan hidup,
Seorang insan yang mempunyai Iman yang lemah,
Akan segera tunduk dengan permainan hidup,
Terus menyerahkan nasibnya tanpa terus berusaha,
Menganggap dirinya hina dan tidak mampu untuk berjuang.
Wahai semuanya,
Kemanisan Iman itu sentiasa ada untuk dirimu,
Terserah kepada kita untuk mencarinya,
Atau...
Melepaskan ia pergi.

'Awek' Zaman Sekarang

'Awek' Zaman Sekarang

Zaman sekarang bukan main mudah nak dapat 'awek'. Umpama petik jari sahaja dah boleh dapat. Masakan tidak? Kenyit-kenyit mata sikit, bomkan ayat-ayat cinta sikit, 'confirm' dah boleh dapat.
Zaman sekarang bukan main mudah untuk dapat 'awek muslimah'. Mungkin tidak semudah petik jari tetapi kalau bijak bermain kata, cuba ucapkan ayat-ayat berbaur keinsafan sikit, tunjuk gaya penampilan yang nampak alim sikit, ucapkan kata-kata tazkirah 'confirm' dah boleh dapat.
Haih! Inilah yang terjadi apabila terlalu kerap disajikan program-program televisyen (drama/ realiti tv/ filem) yang konon-konon berbentuk keagamaan tetapi banyak yang tidak mengikut syariat.
Bagaimana boleh watak seorang ustaz dipaparkan sedang bercinta dengan seorang wanita 'alim'? Dan bagaimana pula sekumpulan pelajar Mesir yang ditunjukkan dalam sebuah drama pergi melancong berempat (dua lelaki dan dua perempuan) bersama-sama seolah-olah mereka tidak tahu bahawa perkara-perkara begitu boleh menimbulkan fitnah? (kerana bukan urusan penting)
Patutlah segelintir remaja yang tidak memahami konsep bercinta 'cintun' menganggap bahawa 'couple' itu dibenarkan dalam Islam asalkan tidak pegang tangan dan bersentuhan cukuplah untuk perkara itu menjadi halal.
Tetapi, zaman sekarang bukan main payah untuk kita jumpa dan miliki hati Muslimah Mujahidah Solehah, kerana mereka ini bukan sebarang wanita.
Mereka ialah wanita-wanita yang berpegang pada prinsip hidup! Bagi mereka ketegasan terhadap kaum Adam itu adalah satu mutiara dalam hidup mereka, sifat manja (gedik) terhadap kaum adam yang ajnabi langsung tidak akan wujud dalam diri mereka!
Inilah contoh Muslimah Mujahidah Solehah! Jadi, wahai kaum hawa buatlah pilihan untuk berada di golongan wanita yang bagaimana. Saya yakin! Anda sudah mampu berfikir yang baik dan buruk tentang sesuatu perkara.

Thursday, September 15, 2011

akhlak Rasulullah SAW


SATU aspek sangat baik dicontohi daripada akhlak Rasulullah SAW ialah kehidupan berkeluarga memandangkan masyarakat hari ini yang berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti perceraian suami isteri, sumbang mahram serta penderaan.

Sebagai manusia biasa Rasulullah SAW pernah menjadi anak, suami, bapa, mentua dan datuk. Baginda menunjukkan contoh terbaik dalam memenuhi setiap tanggungjawab yang boleh diikuti semua ahli keluarga.

Firman Allah bermaksud “Demi sesungguhnya, adalah bagi diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa ingin mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik di akhirat kelak serta ia pula banyak menyebut dan mengingati nama Allah (dalam masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Sebagai suami, Baginda SAW begitu menghargai isterinya dengan menunjukkan sifat mulia seperti kasih sayang, bertimbang rasa, hormat serta sabar tanpa pernah sekalipun mengasari mereka bahkan menghadapi kerenah isteri dengan penuh pengertian dan kemaafan.

Baginda SAW juga tidak keberatan membantu melakukan kerja rumah. Ibnu Hajar pernah berkata bahawa Aisyah meriwayatkan katanya “Baginda (nabi) yang menjahit kainnya, menjahit sepatunya, dan mengerjakan apa yang biasa dikerjakan lelaki di rumah mereka.” (Hadis riwayat Ahmad Ibnu Hibban)
Sikap baik Rasulullah SAW terhadap isteri ini diakui sendiri oleh isteri Baginda Aisyah yang meriwayatkan “Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun memukul isteri dan pembantunya.” (Hadis riwayat Bukhari)
Apabila hendak memulakan suatu perjalanan, Baginda akan memastikan tempat duduk isterinya di atas unta dalam keadaan selesa dan Anas pernah mengatakan bahawa Baginda akan duduk bagi membolehkan isterinya berpijak di atas lututnya untuk naik ke atas unta.

Dalam kehidupan berpoligami juga, Baginda adalah contoh terbaik melaksanakan prinsip keadilan walaupun tidak dapat dinafikan bahawa perasaan kasih sayang tidak boleh dibahagikan sama rata.
Namun, sebagai suami seboleh-bolehnya mestilah pandai memainkan peranan supaya jangan ada di kalangan isteri yang tersinggung lantaran sikap suami yang pilih kasih.

Pernah berlaku dalam rumah tangga Rasulullah SAW, suatu hari isteri-isteri Baginda datang menemui Baginda, Aishah yang mewakili mereka terus bertanya, “Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri Rasulullah, yang manakah paling Rasulullah sayangi Rasulullah tersenyum mendengar pertanyaan itu. Baginda tidak terus menjawabnya. Bahkan Baginda menyuruh semua isterinya pulang dulu dan berjanji akan memberikan jawapannya kemudian.

Selepas itu, seperti biasa Rasulullah SAW bermalam di rumah isteri-isteri Baginda mengikut giliran dan sebelum Baginda meninggalkan rumah isterinya, setiap seorang dihadiahkan cincin dan berpesan supaya tidak memberitahu hal itu kepada isteri yang lain.
Kemudian Rasulullah SAW menyuruh isteri-isteri Baginda berkumpul kerana Baginda hendak memberi jawapan kepada persoalan dikemukakan. Rasulullah SAW berkata, “Isteri yang paling disayangi ialah mereka yang diberi cincin kepadanya.” Maka tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah kerana setiap seorang menyangka bahawa dia saja yang menerima cincin itu.

Rasulullah SAW adalah bapa penyayang. Acap kali apabila Baginda melihat Fatimah masuk ke rumahnya, Baginda terus menyambut dan berdiri, kemudian mencium kepala dan tangan.
Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah SAW apakah sebab Baginda amat sayang kepada Fatimah. Baginda menegaskan, “Wahai Aisyah, jika engkau tahu apa yang aku ketahui mengenai Fatimah nescaya engkau akan mencintainya seperti aku mencintainya. Fatimah adalah darah dagingku. Ia tumpah darahku. Sesiapa yang membencinya, maka ia membenciku, dan sesiapa yang membahagiakannya, maka ia telah membahagiakanku.”

Ummu Salamah, isteri Rasulullah SAW mengatakan bahawa Fatimah adalah orang yang paling mirip dengan Rasulullah dalam ucapan dan fikirannya. Selaku anak, Fatimah mencintai ayahandanya lebih daripada cintanya kepada sesiapa pun.

Selepas ibunya Khadijah meninggal dunia, dia yang baru berusia enam tahun yang merawat Rasulullah SAW. Beliau sentiasa berusaha menggantikan peranan ibunya.
Justeru, Rasulullah memanggilnya dengan jolokan Ummu Abiha, iaitu ibu bagi ayahnya, kerana kasih sayang dan pengorbanan mulia yang dicurahkan kepada ayahandanya.
Memiliki sebuah keluarga harmoni memerlukan ikatan yang mesra bukan saja dengan anak dan isteri, malah menantu juga. Demikianlah ditunjukkan Rasulullah SAW. Contoh paling baik ialah melalui kehidupan Ali sebagai menantu Baginda.

Ali sebagai menantu Rasulullah SAW turut sama menyingsing lengan membantu Fatimah menggiling tepung di dapur. Usaha sekecil itu, di celah kesibukan sudah cukup bermakna dalam mengambil hati seorang isteri yang saban hari bertungkus-lumus menguruskan rumah tangga.
Bukan Sayidina Ali tidak mahu menyediakan pembantu untuk isterinya itu, namun beliau tidak mampu berbuat demikian. Fatimah amat memahami keadaan suaminya dan beliau sentiasa berusaha membahagiakan suaminya.

Contoh kasih sayang datuk terhadap cucunya boleh dilihat daripada cara Baginda SAW melayani kedua-dua cucu kesayangan iaitu Hassan dan Hussin, anak Siti Fatimah dan suaminya Saidina Ali.
Rasulullah SAW bukan saja sentiasa membelai dan mencium kedua cucunya itu, malah apabila cucu Baginda menghampiri Baginda, Baginda terus mendukungnya. Baginda juga apabila keluar rumah, selalu membawa cucunya bersama.

Baginda selalu meriba mereka. Pernah ketika Baginda sedang sujud dalam solat, cucu Baginda duduk di atas belakang Baginda sehinggakan Baginda sujud agak lama. Baginda juga selalu bermain kuda-kuda dengan cucunya.